hubungan kita ialah .. ??

ps: Enjoy people!


"Neo, cepat bangun! Lembab!" Aku pekik kuat dari bawah rumah Neo. Confirm jiran-jiran Neo rasa macam nak baling periuk je dekat kepala aku sebab terpekik-terlolong di pagi hari di kawasan kejiranan yang aman damai ni. Tapi, aku tak peduli. Aku dan Neo dah terlambat dan aku mesti kejutkan si pemalas ni secepat mungkin.

"Bisinglah kau ni Con. Adik kecil aku dah terjagalah." Kali ini suara Neo pula kuat memekik dari biliknya selepas dia menarik tingkapnya terbuka. Seperti yang dijangka, rambut hitamnya masih kelihatan serabai dengan muka yang masih belum berbasuh. Aku mengeluh kuat cuba menghilangkan rasa bersalah sebab si kecil Ned dah terjaga.

"Cepat siap. Aku beri masa 10 minit saja untuk kau sampai terpacak di bawah ni. Kalau tak, aku pergi dulu." Aku melaung lagi lalu sepantas kilat Neo berlalu dari tingkap, cuba menyiapkan segala urusan paginya dalam masa sesingkat 10 minit tu.

Kejam sangatkah aku? Hahaa... Tapi, Neo memang pelik. Selama ni, dia cukup pantang kalau aku tinggalkan dia dan pergi ke sekolah dulu. Ada sekali tu waktu dia masih baru di sekolah tinggi, aku terpaksa ke sekolah awal sebab ada perjumpaan persatuan pelajar. Seharian dia tak bercakap dengan aku sebab tu.

"Dah siap." Neo berdiri terpacak di hadapan aku dengan uniform sekolahnya yang tidak terurus dan rambut yang tidak bersikat. Dia menggigit sekeping roti sebelum menyerahkan sekeping lagi roti yang berada di dalam tangannya kepadaku. Aku menyambutnya sambil mengeluh sekali lagi.

Pantas aku menghampiri Neo lalu membetulkan tali leher dan blazer hijau zamrud sekolah kami sebelum aku sengaja menarik kepalanya yang tinggi melangit itu dan menyebak-nyebak rambutnya supaya kelihatan lebih terurus. Ah... kenapalah Neo semakin lama semakin tinggi ni? Adakah sebab dia lelaki jadi badan dia sekarang seolah-olah dah jadi dua kali ganda lebih besar dari aku? Waktu sekolah rendah dulu, badan dia kecil dan kurus melidi je. Tapi sekarang, sejak dia dah masuk ke sekolah tinggi yang sama dengan aku, dia kelihatan semakin tinggi.

"Cuba pakai elok-elok sikit lain kali. Kau tu dah jadi pelajar sekolah tinggi, tahu tak?" Aku membebel di pagi hari sambil menolak pintu pagar rumah Neo dan berjalan ke arah jalan besar. Neo sekadar membuntuti aku dari belakang sambil menyilangkan beg sekolahnya di dada.

"Bisinglah kau ni. Umur kau cuma setahun je tua dari aku tapi berlagak macamlah permaisuri." Dia membalas sambil menghentak-hentakkan kakinya di jalan. Kalaulah dia buat macam ni masa dia masih sekolah rendah dulu, mungkin nampak comel. Tapi sekarang, umur dah nak masuk 16 tahun tapi masih berperangai kebudak-budakkan. Lelaki memang lambat matang, kan?

"Correction, Neo! Aku dua tahun lebih tua dari kau, okey. Walaupun kau lahir awal tahun dan aku lahir akhir tahun, tapi tu tak dikira. Tahun depan, aku dah tak ada di sini untuk jaga kau lagi. Jadi, kau mesti bersikap matang sikit." Aku membebel lagi tanpa menoleh memandang wajahnya yang aku pasti sudah masam mencuka tu.


Macam biasa, aku berjalan masuk ke kelas tahun 3-A dengan langkah yang anggun dan bergaya. Bukan nak berlagak, tapi memandangkan jawatan aku sebagai penolong presiden persatuan pelajar yang berwibawa membuatkan aku sangat-sangat dihormati dan famous. Muahahaaa...

Dan yang pasti, mata aku akan sentiasa melihat ke arah seorang lelaki yang duduk di sebelah tingkap dengan buku sentiasa berada di tangannya. Lelaki itu angkat kepala sebelum melontarkan senyuman yang boleh mencairkan hati, jiwa dan raga aku. "Morning, Constance." Cuma dua patah perkataan itu saja terkeluar dari bibir dia membuatkan aku rasa macam dunia ni aku yang punya.

"Selamat pagi, Presiden Aren." Aku membalas ucapan si dia yang merupakan presiden persatuan pelajar sekolah aku dengan wajah yang tenang. Mungkin, itulah kelebihan (atau kekurangan aku) iaitu aku memang tenang dan cool dalam apa jua situasi. Memang muka aku stok poker face terbaik punya. Sebab tulah setakat ni tak ada sesiapa (kecuali Neo) yang tahu perasaan aku pada Aren.

Dan aku terus melabuhkan punggung di sebelahnya (memang itu tempat duduk aku pun) dengan tenang dan akan mengikuti setiap pelajaran hari ini dengan hati yang kembang berbunga-bunga sepanjang masa.


"Kau rasa patut ke aku confess perasaan aku pada dia, Neo?" Aku menyoal si 'adik' aku itu ketika kami sedang menikmati makan tengah hari di atas bumbung bangunan sekolah pada waktu rehat. Air kotak perisa strawberi aku tu dah separuh kusedut dan roti di tangan pun dah habis kutelan.

"Kenapa tanya aku?" Neo menyoal acuh tak acuh sambil memandang tepat ke langit. Dia sedang berbaring dan menggunakan lengannya sebagai pelapik kepalanya. Aku pusing memandang wajahnya yang nampak tidak berperasaan tu. Neo semakin lama nampak semakin dingin. Rasanya, dia sedang cuba menjadi seorang lelaki cool dan pendiam di sekolah sebabnya lelaki-lelaki macam tu sangat digilai perempuan (macam dalam komik). Waktu kecik-kecik dulu, Neo lebih banyak bercakap dan mulut macam bertih goreng.

"Kau ni makin membosankanlah, Neo. Aku cuma nak minta pendapat kau je." Aku terasa hati.

"Pergi ajelah kalau kau rasa dia akan terima cinta kau tu." Akhirnya dia bagi juga pendapat dia.

Aku terus angkat lutut rapat ke dada dan membenamkan muka aku di kepala lututku. "Aku seganlah. Kalau dia tak suka aku, macam mana? Kalau dia tolak aku, macam mana?"

Aku dapat dengar Neo mengeluh kuat dan dia terus duduk. "Apa guna kau tanya aku kalau kau dah buat kesimpulan awal macam ni? Bodohlah kau ni, Con." Okey.... mulut dia semakin celupar nampaknya. Tapi, aku diam saja dan masih tunduk.

"Kalau kau sanggup tanggung risiko ditolak, apa salahnya kau cuba. Zaman sekarang ni, kau tak perlu malu pada sesiapa walaupun kau tu perempuan. Kalau suka, cakap saja suka. Sekurang-kurangnya dia dah tahu perasaan kau. Kalau dia tolak, maknanya dia yang rugi. Kalau kau terus simpan sorang-sorang, kau jugak yang sakit hati." Terkesima seketika aku mendengar ayat-ayat Neo tu. Tak sangka budak umur 16 tahun dah pandai cakap macam ni. Ingatkan Neo masih belum matang.

Tiba-tiba aku rasa kepala aku jadi berat. Aku angkat kepala dan terpandang tangan kanan Neo di atas kepala aku dan dia tersenyum sedikit. "Jangan risau. Kalau dia tolak kau dan kau rasa nak nangis, datang pada aku. Aku takkan pergi mana-mana." Neo tepuk kepala aku dua kali macam dia tepuk kepala anjing besar dia di rumah tu lalu bangkit berdiri dan mengibas-ngibas seluar dan blazer dia yang berdebu.

Muka aku jadi panas semacam pulak bila dia buat macam tu. "Kau ni, tengah bagi semangat ke tengah nak buang semangat aku sebelum berjuang ni?" Aku menyoal namun tidak dibalasnya. Dia sudah sampai ke tangga. Aku menarik senyum melihat belakang Neo. Ah... adikku ini memang prihatin orangnya. Walaupun dia dah jadi pendiam dan pura-pura jadi mamat cool, tapi dia memang adik dan kawan aku yang terbaik.


Misi cinta aku bermula keesokan harinya. Tak ada sesiapa pun menyangka, minah cool dan nampak tough macam aku ni sedang berdebar-debar dilamun perasaan pada kawan sekelasnya sendiri. Malah, disebabkan aktiviti aku yang selalu memerhatikan Aren dah memberi aku satu kelebihan sebab aku tahu apa dan jenis perempuan yang dia suka. Malah aktiviti harian dia pun aku hafal. Oh... betapa stalker nya aku. Aku dah bertekad ni. Aku mesti beritahu dia perasaan aku jugak, kalau tak melepaslah. Tahun depan, kami akan tamat pengajian dan haluan kehidupan masing-masing akan berbeza. Kalau aku berjaya menjadikan dia sebagai pakwe aku sebelum tamat belajar, kami akan masih berhubung selepas ni. Kronikkah aku?

Aktiviti-aktiviti persatuan pelajar kami lalui dengan penuh gembira. Aku memang bangga dapat jadi penolong kepada Aren dan dia sangat-sangat mempercayai aku. Senyumannya semakin manis dan melebar membuatkan rasa cinta aku kepada Aren semakin mendalam.

Di satu petang yang sejuk, aku dan Aren duduk berduaan di bilik persatuan pelajar sebab semua pelajar lain dah balik. Kami berdua perlu bersiap sedia untuk hari sukan sekolah yang akan diadakan dalam masa dua hari je lagi. Mestilah dua-dua ketua pelajar sekolah perlu bersiap sedia kan? 

Aren kelihatan tekun membelek-belek senarai ahli jawatankuasa dan senarai aktiviti pada hari sukan itu. Muka dia memang sangat kacak dengan alis mata yang lentik dan dagu yang berlekuk. Anak mata dia berwarna biru laut dan rambutnya yang berwarna coklat gelap tu memang gorgeous. Badan dia takdela berketak-ketak ke apa tapi rasanya seronok dipeluk. Eeeiii... Constance dah naik gatal!

"Kenapa pandang aku macam tu, Constance?" Dia menyoal membuatkan aku tertunduk terus. Malunya bila dia tegur macam tu. 

"Err... takde apa-apa." Kataku perlahan. Aku suka kau! Aku suka kau! Aku cintakan kau! Cakaplah, Constance!

Aren tenung aku pula sebelum dia mengukir senyum. "Kau dah penat ya? Kalau macam tu, kita baliklah. Mesti kau penat. Biar aku hantar kau balik ya."

Errr... dia ingat aku penat rupa-rupanya.

"Tak apa. Aku boleh balik sendiri." Aku cuba menolak tapi Aren hanya tersenyum.

"Mana boleh aku biarkan perempuan balik sorang-sorang dekat-dekat senja ni. Tak apa. Rumah kita sehala, jadi kau tak menyusahkan aku." Katanya lagi membuatkan aku terangguk-angguk macam kucing lapar diberikan ikan.

Malam tu, aku melaporkan peristiwa hari ini kepada Neo melalui telefon bimbit aku. Memang rumah aku dan Neo cuma selang dua buah saja dan aku selalu keluar malam kalau nak jumpa dia, tapi malam ni aku lebih gemar bergolek-golek di atas katil. Suara Neo kedengaran dingin sedikit malam ni dan dia macam malas nak layan aku bercakap. Aku pula berceloteh tak henti-henti tentang kehenseman Aren di telefon. Aku rasa Neo bengang dengan aku je.

"Kau balik dengan dia tadi? Nampaknya kau memang dah terlupa." Dia bersuara dengan nada yang sedikit tinggi.

"Lupa apa?" Aku menyoal kembali sedikit blur.

Kedengaran Neo menghembuskan nafasnya kasar di telefon. "Con memang bodoh. Kenapalah aku ada kawan yang pelupa macam ni? Penat aku." Dia seperti memaki aku di telefon membuatkan aku naik marah.

"Hei, kenapa semenjak dua ni kau berani kutuk aku terang-terang. Hormat sikit dekat kakak kau ni, Neo!"

"Kakak? Siapa kakak aku? Aku tak ada kakak dan aku tak pernah anggap kau macam kakak aku, Constance!" Neo menengking di telefon sebelum mematikan telefon bimbitnya. Jantung aku benar-benar tersentap mendengar suara marahnya menyebut nama penuh aku. Selama ni, dia tak pernah tengking aku begitu. Perlahan-lahan aku meletakkan telefon bimbitku di atas katil dengan wajah yang bingung. Hati aku memang terasa sakit mendengar adik aku menjerit macam tu dekat aku. Apa salah aku? Bukankah dia patut gembira untuk aku kalau aku dapat bersama dengan lelaki yang aku suka?

Patutkah aku telefon Neo dan pujuk dia? Patutkah aku minta maaf? Tapi nanti dulu! Kenapa aku pulak yang patut minta maaf sedangkan dia yang marah aku dan putuskan talian telefon dulu. Baiklah, aku dah bertekad! Selagi dia tak minta maaf atau datang bercakap dengan aku, aku takkan layan dia langsung.


Hari sukan sekolah pun akhirnya menjelang dan kesemua pelajar berkumpul di padang dengan wajah-wajah yang gembira. Aku sendiri memakai bandana di kepala mewakili kelas aku namun masih perlu bertugas sebagai ahli jawatankuasa hari sukan. Dari jauh aku dapat lihat Neo sedang duduk dikelilingi beberapa orang pelajar perempuan sekelasnya sambil ketawa gembira. Ah... memang taktik berlagak cool dia tu menjadi. Ramai pula pelajar perempuan mendekati dia. 

Perempuan? Ah... pelik pulak rasanya. Dulu, dia jarang bercakap dengan perempuan dan akulah satu-satunya kawan perempuan dia. Pertama kali kami berjumpa ialah masa aku darjah tiga dan dia darjah satu. Badannya kecil sekali dan dia selalu dibuli budak-budak lain di sekolah. Akulah yang selalu jadi penyelamat dia disebabkan muka garang dan poker aku sejak kecil ni berjaya menakutkan pelajar-pelajar lain. Aku selalu pegang tangan kecil dia yang kurus tu, selalu betulkan baju dia dan jaga dia macam adik kecil aku. Mungkin juga aku masih bersikap macam tu sampailah sekarang sebab aku anak tunggal. Aku sayangkan Neo macam aku sayangkan keluarga aku. Sebab tulah aku betul-betul terasa hati bila dia tengking aku macam tu.


Perlahan-lahan tanpa aku sedar air mata aku mengalir di pipi melihat senyuman Neo dengan perempuan-perempuan lain. Mungkin selama ni aku ingat dia cuma akan senyum pada aku sorang saja dan aku ingat dia akan sentiasa bergantung pada aku membuatkan aku dah terlupa yang Neo sudah pun dewasa dan tak perlukan aku lagi. Neo mungkin juga dah ada perempuan idaman dia sendiri dan lepas ni, aku takkan jadi orang yang penting padanya lagi. 

'Constance? Kau tak sihat?" Suara Aren menegur dari belakang secara tiba-tiba membuatkan aku cepat-cepat mengesat air mata. Aku menoleh sambil tersenyum.

"Kau masuk permainan apa lagi lepas ni?" Aren menyoal.

"Dodgeball. Kau masuk juga kan? Kalau kita menang permainan ni, kelas kita akan jadi juara." Kataku cuba menunjukkan muka bersemangat waja.

"Ya. Tapi, aku dengar kita akan lawan dengan budak-budak tahun satu kelas B. Mereka handal-handal juga." Kata Aren membuatkan aku terfikirkan sesuatu. Kelas 1-B ialah kelas Neo.

Aku berdiri di posisi aku di tengah-tengah gelanggang untuk permainan dodgeball akhir petang itu. Muka Neo aku pandang dengan tidak senang. Dia sekadar pandang aku sekali sebelum memandang sekeliling tanpa menghiraukan aku langsung. Okey... darah aku semakin mendidih. Budak tak guna ni berani ignore aku macam tu? Rasa macam nak hentak kepala dia dengan lutut aku ni.

Permainan pun dimulakan dengan kelas aku menjadi penyerang. Ketangkasan Aren memang tak dapat disangkal lagi kerana dia seorang saja berjaya menjatuhkan dua orang lawan dalam masa yang singkat. Aren mengangkat tangannya pada aku dan aku menepuknya tinggi membuat high-five. Oh... aku semakin dekat dengan putera impian aku nampaknya.

Tapi... tak tahulah kenapa mata aku tak lekang-lekang dari mencari-cari kelibat Neo. Jantung aku berdebar kencang bila melihat Aren melemparkan bola ke arah Neo namun sebaik sahaja dia menyambut bola tu, aku mengeluh lega pulak. Pelik! Neo adalah lawan aku sekarang.

Neo yang sedang memegang bola memandang ke arah aku. Alamak... dia nak baling bola ke arah aku ke? Muka dia nampak macam nak balas dendam, tapi sebaliknya Neo melemparkan bola tu ke arah pelajar kelas aku yang lain dan bukannya ke arah aku walaupun aku agak dekat dengan dia. Kenapa? Kelakuan Neo buat aku rasa tak senang. Dia marahkan aku, tapi dia masih tak sakitkan aku. Pandangan mata aku sekarang cuma ada Neo dan aku hanya berdiri terpaku seperti tunggul di tepi sungai.

"Constance, bola!" Aren menjerit dari jauh membuatkan aku tersedar yang tubuhku bakal terkena bola dari sebelah kanan dan aku dengan bodohnya terlupa hendak menyambut membuatkan bola tu terhentak tepat ke muka aku. Darah memancut dari hidung dan pandangan mata aku berpinar sebab terkena bola tu. Sakitnya! Patutlah orang kata permainan ni bahaya. Cikgu aku pun satu! Janganlah buat permainan ni bercampur lelaki dan perempuan. Mesti yang baling bola tadi ialah lelaki sebab kuat sangat.

"Constance, kau tak apa-apa?" Pelajar-pelajar lain mula menghampiri aku.

"Aku okey. Bagus juga darah keluar ni. Sejuk sikit kepala aku." Jawabku spontan membuatkan kesemua orang memandang aku macam pandang perempuan gila.

"Dia dah tak betul." Suara Neo kuat kedengaran dari kerumunan orang ramai dan aku nampak dia menghampiri aku smabil memegang sehelai tuala kecil. Dikesatnya darah di hidung aku yang meleleh bagaikan air terjun tu perlahan-lahan. Ah... mata Neo nampak begitu hitam hari ni. Atau, adakah sebab kepala aku dah tak betul sebab kena hentak dengan bola tadi?

Aku duduk di atas katil di bilik rawatan dengan senyap sambil meletakkan ice pack di dahi aku yang agak benjol tu. Neo sedang bersandar di dinding memerhatikan aku sejak jururawat sekolah membelek-belek muka aku tadi. Tadi, dia memimpin tangan aku dan mengheret aku keluar dari gelanggang menuju ke bilik rawatan. Aku cuma mengikut tanpa banyak songeh.

"Siapa menang?" Aku menyoal.

Dia mengangkat bahu. "Tak tahu." 

"Neo, kenapa kau marah aku hari tu?" Aku menyoal ingin tahu.

Dia mengeluh berat. "Kau ni memang betul-betul dah lupa agaknya. Hari kau balik dengan buah hati kau tu, kau kan dah janji dengan aku nak pergi makan di bandar. Kau suruh aku tunggu di stesen tren sebab kau cakap kau lambat sikit. Kau tahu tak, aku tunggu kau sampai malam. Lepas kau telefon aku, baru aku balik."

Aku ternganga. Serius, aku terlupa. Patutlah dia marah. Memang patutlah dia marah!

Aku tertunduk. "Maafkan aku, Neo. Aku tak sengaja." Aku meminta maaf dengan suara yang lemah dari biasa. Dan suara lemah tu bukannya sebab kepala aku yang sakit, sebaliknya sebab aku rasa bersalah yang amat sangat.

Aku angkat kepala memandang Neo yang tengah pandang aku tapi tiba-tiba menoleh ke arah lain. Dia kemudian berjalan menghampiri aku dan duduk di atas katil di sebelah aku. Tangan dia semakin ringan mengusap kepala aku sekarang. "Takpelah kalau kau tak sengaja. Aku pun bodoh jugak, sebab tunggu kau sampai malam." Dia tersengih membuatkan muka aku terasa hangat lagi. Peliknya!

Baru aku sedar, tangan Neo semakin besar. Dah tak kecil macam dulu lagi. Malah, tangan dia dah boleh genggam keseluruhan tangan aku. Macam manalah rasanya kalau dia pegang tangan aku sekarang agaknya? 

Aku pandang tepat ke anak mata hitam Neo tu. Dia juga nampak serius membuatkan aku rasa resah pulak. Macamlah aku dan dia tak pernah berduaan macam ni. Tapi, rasanya kali ni agak lain macam sebab jantung aku tiba-tiba saja mengepam dua kali ganda lebih laju daripada biasa. Pandangan mata aku pulak turun dari mata Neo terus ke bibir dia. Kenapalah aku tak pernah perasan yang dia ada bibir yang seksi dulu?

Aku gugup terus. Kenapa pulak ni? Neo kan bagaikan adik merangkap kawan baik aku?

Jantung aku semakin berdebar-debar bila dia sengaja merendahkan badannya dan merapatkan mukanya ke muka aku tiba-tiba. Neo, apa kau nak buat ni? Aku tertunduk dengan mata yang terpejam dan muka yang merah.

Pintu bilik rawatan diketuk dan Aren melangkah masuk ke dalam dengan senyuman. Neo bingkas bangun dari katil sambil menggaru-garu lehernya. Dia menoleh memandang ke arah aku sekilas. "Inilah masanya kau luahkan perasaan kau." Dia berbisik sebelum berlalu keluar meninggalkan aku bersama Aren. Aku mengeluh panjang.

"Kita menang." Aren tersenyum manis. 

Aku pandang muka Aren lama-lama. Wajah kacak Aren tu nampaknya dah tak menerujakan hati aku lagi. Tapi, mungkin betul kata Neo. Mungkin inilah masanya aku meluahkan perasaan aku. Kalau dia terima aku, aku mesti rasa excited. Dan, jantung aku pasti akan berdegup laju untuk Aren semula dan bukannya pada Neo lagi.

"Aren, aku ada benda nak cakap pada kau." Kataku akhirnya.


Malam itu, aku mengunjungi rumah Neo dan mamanya menyuruh aku naik terus ke bilik dia di tingkat atas. Sempat aku mengacah-ngacah adik kecil Neo yang bernama Ned tu di dalam buaian dia dan dia hanya tersenyum-senyum memandang aku.

Sebaik saja aku masuk ke bilik Neo, aku terus duduk di atas katilnya. Bilik dia agak kemas untuk bilik seorang lelaki. Figura-figura robot Gundam dan Transformers bersusun cantik di dalam almari kaca sebab dia memang peminat robot. Aku terpandang sekeping gambar yang terlekat di dinding biliknya. Aku menarik senyum melihat gambar aku yang berusia 11 tahun itu sedang memeluk bahunya. Dia masih simpan gambar ni rupa-rupanya. Itulah gambar sambutan hari jadi kami berdua yang diadakan serentak memandangkan aku lahir pada 31 Disember dan dia pula lahir pada 1 Januari.

Pintu biliknya terbuka luas dan Neo yang hanya bertuala tidak berbaju itu melangkah masuk tanpa menyedari aku berada di dalamnya. Merona merah muka aku melihat badannya tu. Ah.. teruk! Neo dah besar sekarang dan aku pulak rasa malu bila tengok dia macam ni sedangkan dulu waktu kecik-kecik, kami siap mandi sama-sama lagi. 

"Eh, kenapa kau ada kat sini, Con?" Dia menyoal cepat. Selamba badak saja dia berjalan melintasi aku dan mencapai t-shirtnya di dalam almari dan menyarungkannya di tubuh. Setelah memastikan dia lengkap berpakaian, barulah aku pusing tengok dia semula. Rambut dia masih basah dan dia terus mengelap dengan tuala. 

"Kau cakap aku boleh jumpa kau kalau aku kena tolak kan? Ya, memang aku kena tolak pun. Dia dah ada awek." Kataku lalu melabuhkan punggung di atas katilnya. Dia turut mengambil tempat disebelah aku.

"Serius? Kau luahkan perasaan? Beraninya kau. Tapi, kenapa kau macam tak sedih pun?" Dia menyoal.

Aku angkat bahu. "Entah, aku pun pelik. Aku ingatkan aku akan menangis dan rasa sedih bila dia tolak cinta aku. Tapi, aku rasa lega pulak. Betul cakap kau. Kalau aku simpan sorang-sorang, aku sendiri yang tersiksa. Tapi, bila aku dah beritahu dia, aku rasa lebih tenang." 

Mata Neo tak berkelip pandang muka aku.

"Aku sebenarnya dah boleh rasa yang dia akan tolak aku. Tak sangka hati aku ni lebih keras dan kuat dari yang aku sangkakan." Aku ketawa.

Neo mengukir senyum. "Baguslah."

Aku menjeling Neo sekali. "Tapi, mungkin juga aku rasa dia tak berapa penting pada aku lagi." Aku patut tanya apa yang dia cuba nak buat pada aku di bilik rawatan tadi.

"Ye ke? Adakah sebab kau rasa adik kau ni lebih penting dari dia?" Neo menyoal.

"Bukan kau cakap kau tak pernah anggap aku kakak ke? Jadi, aku pun taknak pandang kau sebagai adik lagilah." Aku membalas sambil mengangkat kaki ke atas katil.

Neo merapatkan badannya di sebelah aku. "Kalau macam tu, kau nak pandang aku macam mana pulak?"

Tak guna betul budak ni! Dia tengah memancing jawapan dari mulut aku rupanya. Aku terus bangkit berdiri. "Aku nak balik."

"Nanti kejap!"

Tangan aku direntap oleh Neo dan aku terjatuh di atas riba dan dalam pelukannya. Sekarang kepala aku bersandar rapat ke dada dia pula. Alamak... boleh pulak dia selamba badak usap kepala aku lagi. Yang aku ni pun teruk juga. Kenapa tiba-tiba aku rasa macam tak nak menolak ni?

"Kakak, kau dah nak balik?" Dia menyoal bersuara sinis.

Berdesing telinga aku dengar dia panggil aku 'kakak'. "Woi, jangan panggil aku kakak! Aku bukan kakak kau dan kau bukan adik aku."

"Tapi, dulu kau selalu mengaku yang aku ni adik kau. Kau selalu jaga aku macamlah aku tak pandai urus diri sendiri." Dia menyambung.

Muka aku mula jadi merah padam lagi. "Aku dah tak boleh pandang kau sebagai adik lagi sebab aku... aku dah nampak kau macam seorang lelaki."

Hahaa... apa punya jawapan la aku bagi? Macamlah selama ni dia bukan lelaki.

Neo tergelak kuat. Tangan dia masih galak mengusap-ngusap rambut panjang aku. "Baguslah sebab aku pun dari dulu lagi tak pernah pandang kau macam seorang kakak."

Aku kaku.

"Kau memang tak pernah perasan kan? Aku selalu apply masuk sekolah yang sama dengan kau, kelab yang sama dan aku selalu nak dekat dengan kau je. Semuanya sebab aku memang possessive dan aku cuma nakkan kau je."

Wahhh.... aku nak pengsan. Neo, kot ye pun nak cakap benda camni, janganlah dalam keadaan kita tengah berpelukan camni.

"Kenapa kau tak pernah cakap dari dulu? Kenapa kau biarkan je aku terus suka Aren?" Aku menyoal gugup.

"Sebab aku tahu dia akan reject kau. Aku dah lama tahu dia ada girlfriend." Jawab Neo selamba.

"What? Jadi, kau sanggup biarkan aku kena heartbreak kalau dia reject aku?" Aku macam tak percaya si Neo yang dulunya nampak baik, plain dan suci hati ni boleh ada fikiran keji camni.

"Sebab tu lah aku dah cakap kan, kalau kau sedih dan nak nangis, datang jumpa aku sebab aku akan selalu ada di sisi kau. Aku tak beritau kau awal-awal sebab aku nak kau sedar sendiri yang kau dah suka dekat aku. Bukan sebagai kawan atau sebagai adik." Dia menjawab.

"Macam mana kalau aku takkan sedar sampai bila-bila?" Aku mencabar. Tak guna mamat ni. Aku terasa diperbodohkan dan tertipu pulak.

Dia mengukir ketawa sebelum memegang kepala aku. Mata hitam dia merenung jauh ke dalam mata aku membuatkan aku rasa seratus peratus segan. Aku mula meronta-ronta dan melarikan pandangan mata aku dari tengok muka dia. Tapi, Neo memang lebih kuat dari aku. Tangan dia terus memegang kepala aku, perlahan-lahan turun ke pipi dan akhirnya sampai ke bibir aku. Dia mengusap bibir aku pelan-pelan.

Wahh... aku takut ni! Mata aku terus terpejam rapat.

"Buka mata kau dan pandang aku." Dia bagi arahan. Aku buka mata dan jantung aku berdegup laju bila tengok muka dia yang sejengkal saja dari muka aku dan dia terus merapatkan bibirnya ke bibirku. Sekarang mata aku terbuka luas. Kucupannya lama dan terasa hangat sekali. "Kalau kau tak sedar-sedar jugak, terpaksalah aku buat macam ni."

Dan aku dengan muka yang merah terpaksa tunduk malu bila dia sekadar tersengih lepas tu. Kemana perginya Neo aku yang suci dan baik tu dulu? Ahh... Tapi, rasanya, Neo yang ni pun boleh tahan jugak! Aku malu-malu kucing. Ahh... nampaknya 'adik' aku yang disayangi ni dah bertukar jadi boyfriend aku yang disayangi pulak. (^.^)

"Aku cintakan kau, Constance."

"Aku pun rasa-rasanya dah jatuh cinta dekat kau jugak, Neo."



(tamat)
p/s: create by 
http://keretatua.blogspot.com

Bonjour and Hola!



" Bonjour fellas! Thank you for your visit.I'm Nurul Asyikin Hamzah .Syikin for short .yes i do love him for now and forever only ZAKRI AIDIL :) "


Calendar