
Hikari Tenshikawa berjalan perlahan-lahan meninggalkan dewan utama Universiti Namuri dengan skrol ijazah di tangan bersama-sama dua jambak bunga lili dari ibu bapanya dan teman baiknya. Dia baru saja selesai menerima pengakuan sebagai graduan undang-undang dari naib canselor Universiti Namuri dan sebagai salah seorang pelajar cemerlang universiti itu. Perlahan-lahan Hikari berpusing memandang logo universitinya dengan perasaan yang bercampur-baur. Dia akan meninggalkan universiti ini, tempat menyimpan segala kenangan pahit manisnya sebagai seorang mahasiswi.
"Tahniah, sayang. Mama bangga dengan kamu." Mama mengucup pipinya lama-lama, manakala adik-adiknya yang masih kecil sibuk melompat-lompat ke sana-sini. Ayahnya hanya berdiri membatu sambil tersenyum.
"Mama.. janganlah. Malu saya." Balas Hikari malu-malu sambil memandang sekeliling. Tak mahu dia dikatakan sebagai anak manja.
Mata Hikari tertangkap seorang lelaki yang berdiri tidak berapa jauh darinya. Lelaki itu sedang dikelilingi oleh beberapa pelajar lain dan dia sedang berbual-bual mesra dengan mereka. Wajah Hikari menjadi sayu serta-merta. Lelaki itu bernama Asuka Kuroki, cinta pertamanya. Selama ini, dia hanya mampu memandang Asuka dari jauh dan mereka sangat jarang berbual walaupun seringkali sekuliah. Dan sekarang, mereka akan berpisah tanpa lelaki itu mengetahui perasaannya.
"Hikari sayang. Kamu tengok apa?" Mama menyoalnya.
Hikari segera berpijak ke alam realiti. "Tak ada apa-apa. Mama dan ayah tunggu di sini. Saya nak hantar jubah ni sekejap ya." Hikari terus berjalan laju menuju ke bilik menyimpan jubah graduan di tingkat dua. Begitu ramai pelajar sedang beratur untuk menghantar kembali jubah yang dipinjam menyebabkan gadis itu terpaksa beratur di barisan paling belakang.
"Amboi, laju berjalan. Sampai tak nampak orang lain." Tegur seseorang membuatkan Hikari menoleh. Jantungnya berdegup kencang memandang Asuka yang sedang tersengih kepadanya. Jarang sangat lelaki itu menegurnya. Hikari senyum.
"Kau buat apa kat sini? Kau bukan nak hantar jubah pun, kan?" Hikari menyoal. Asuka tidak akan tamat pengajian bersama-samanya memandangkan dia perlu mengulang dua subjek lagi.
"Kau perli aku ke, Tenshikawa?" Dia menyoal sambil ketawa. Tangannya diletakkan diatas kepala Hikari sambil ditepuk-tepuk perlahan. Gadis itu terkedu. Mereka bukanlah serapat ini sebelum ini, kenapa pula dia tiba-tiba buat macam ni? Fikir Hikari dengan muka merah.
Asuka merenung wajah gadis itu lalu terus mengalihkan tangannya. "Sorry." Katanya perlahan. "Apa perancangan kau lepas ni?"
"Mungkin aku akan kerja di syarikat ayah aku sebagai penasihat undang-undang." Hikari membalas. Muka Asuka direnungnya lama-lama. Barangkali ini ialah kali terakhir dia akan berjumpa dengan lelaki ini. Hikari tidak punya keberanian untuk meluahkan isi hatinya. Baginya, Asuka bagaikan bintang terang bergemerlapan yang sentiasa dikelilingi ramai.
"Tak nak jadi lawyer?"
Hikari menggeleng. "Kau pulak?"
Asuka ketawa. "Buat masa sekarang, biar aku lulus dua subjek tu dulu dan graduate semester depan."
Hikari senyum.
"Tenshikawa, tahniah sebab dah graduate, ya." kata lelaki itu sambil tersenyum. Dia kemudian berpusing hendak meninggalkan Hikari. Hikari hanya memandang belakang lelaki itu yang berjalan semakin jauh daripadanya. Ini adalah peluang terakhir, Hikari. Kalau aku tak luahkan perasaan aku, aku tak akan jumpa dia lagi lepas ni. Gadis itu berfikir sendiri. Jantungnya berdebar-debar dan tangannya mulai berpeluh sejuk.
"Kuroki!" Hikari memberanikan diri memanggil Asuka dengan suara yang kuat. Lelaki itu menoleh sambil tersenyum. Langkahnya terhenti dan dia menanti kata-kata Hikari.
"Aku... aku.. err.." Hikari teragak-agak. Suaranya seperti tersekat di kerongkong. Cakaplah Hikari! Beranikan diri!
Wajah Asuka sedikit berubah. Ada kerutan panjang di dahinya. Seketika kemudian, dia memotong cakap Hikari. "Tenshikawa, aku kena cepat ni. Girlfriend aku dah tunggu dekat bawah. Kau nak cakap apa?"
Wajah Hikari berubah. Niatnya untuk meluahkan perasaannya mati serta-merta. Dia sedaya-upaya menahan air matanya dari mengalir keluar. Asuka tak boleh tahu! Fikirnya.
"Belajar elok-elok tau!" Akhirnya mulut Hikari pun bersuara, bukan perkara yang ingin diberitahu kepada lelaki itu. Namun Hikari tahu dia tidak ada peluang lain. Asuka telah berpunya. Lelaki itu tersenyum lagi dan meninggalkan Hikari dengan lelehan air mata di pipinya. Dia melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal kepada cinta pertamanya yang tidak berbalas itu dalam diam.
Setahun kemudian.
Asuka terjaga dari tidurnya. Badannya terasa ringan seperti kapas dan dia merasakan seperti boleh melayang-layang ke udara. Asuka tercium bau yang kurang menyenangkan dan tekaknya berasa loya. Dia bangun dan berjalan keluar dari sebuah bilik. Kelihatan beberapa orang berpakaian putih melintasinya dengan tergesa-gesa. Seorang lelaki tua sedang ditolak di atas kerusi roda oleh seorang perempuan yang berpakaian seperti seorang jururawat.
"Aku di hospital? Bila masa aku datang ke sini?" Asuka bercakap sendiri. Dia segera menghampiri kaunter jururawat di hadapannya.
"Cik.. tumpang tanya."Dia menegur namun jururawat yang menjaga kaunter tidak menghiraukannya langsung. Asuka naik berang. Dia cukup pantang kalau orang mengendahkan cakapnya. Asuka menegur lagi, namun masih tiada reaksi.
Asuka akhirnya berputus asa. Dia berjalan perlahan-lahan meninggalkan kaunter. Asuka semakin hairan. Tiada seorang pun di situ yang membalas tegurannya, malah langsung tidak memandangnya. Dia seolah-olah tidak wujud di mata orang lain. Hati Asuka resah. Dia sendiri tidak ingat kenapa dia berada di hospital.
Kedengaran suara seorang lelaki menjerit-jerit kuat meminta orang ramai memberikan laluan. Asuka sendiri tidak sempat mengelak dan dia terlanggar dengan seorang lelaki yang berpakaian doktor. Namun dia tersentak. Badan doktor itu tidak pula melanggarnya tetapi melaluinya. Asuka terkejut besar sehingga dia terduduk ke lantai di tengah-tengah koridor hospital. Beberapa orang lagi pesakit dan staf hospital turut berjalan menerusi tubuhnya.
Air mata Asuka mengalir deras. Dia menjerit kuat, namun tiada sesiapa pun yang mendengarnya. Asuka bagaikan hantu yang tidak dapat didengar dan disentuh.
Hati Asuka terdetik untuk berjalan ke arah sebuah bilik VIP di hospital itu. Dari jauh kelihatan ibunya sedang duduk di sebuah kerusi di luar sebuah bilik. Hati Asuka menjadi sebak.
"Ibu." Panggilnya, namun wanita itu langsung tidak mendengar. Asuka hendak menangis lagi. Seumur hidup, dia tidak pernah mengalirkan air mata sebegini. Melihat wajah ibunya yang sedih itu membuatkan hati lelakinya terusik.
Asuka berjalan perlahan-lahan menerusi pintu bilik VIP itu dan seperti yang diduga kelihatan badannya sedang terbaring di atas katil dengan calar-balar yang teruk dan dia hanya hidup dengan sokongan alat bantuan pernafasan sahaja. Asuka sebenarnya sedang koma dan berperang dengan nyawanya. Separuh daripada rohnya sedang mengalami pengalaman diluar tubuhnya. Asuka semakin sesak. Dia memandang kalendar di dinding.
Serta-merta dia teringatkan peristiwa dia mengalami kemalangan jalan raya. Beberapa bulan telah berlalu semenjak hari kemalangan itu. Kemalangan itulah yang menyebabkan Asuka koma hingga ke hari ini. Hampir semua doktor di situ sudah berputus asa dengannya namun, hanya ibu Asuka yang masih percaya anaknya itu akan sedar kembali. Dia sanggup berhabis jutaan Yen bagi menampung kos perubatan anaknya itu. Asuka menyebak rambutnya kebelakang dengan hati yang rawan.
"Dia koma?" Hikari Tenshikawa terkejut besar. Beberapa orang pekerja syarikat memandangnya namun dia tidak peduli. Hikari terus mencapai kunci kereta dan meluru keluar dari pejabatnya. Dia terus memandu ke Hospital Universiti Kyoto setelah diberitahu oleh salah seorang rakan sekelasnya tentang Asuka. Katanya, Asuka telah koma selama 3 bulan akibat kemalangan jalan raya, namun baru hari ini dia mendapat tahu. Hati Hikari risau. Dia terlalu cemas.
Hikari berlari-lari anak dengan kasut tumit tingginya ke bilik VIP hospital. Beberapa orang rakan sekuliahnya sedang berdiri di sebelah katil Asuka menziarahinya. Hikari terus masuk dan hatinya sebak melihat Asuka yang berbalut dengan mulutnya ditutup dengan topeng oksigen dan alat bantuan pernafasan.
Tanpa semena-mena air mata Hikari mengalir laju di pipi. Dia terlupa mengesat air matanya dan hanya membiarkan ia tumpah ke pipi.
"Hikari?" Seorang gadis yang merupakan rakan sekuliahnya menegurnya dengan suara yang hairan. Hikari memerhatikan sekeliling. Tiada sesiapapun disitu yang menangis kecuali dia. Walaupun semua orang berwajah sugul dan sedih, namun tiada seorang pun yang mengalirkan air mata. Semua mata memandangnya dengan takjub. Hikari termalu sendiri. Dia terus keluar dari bilik itu.
Tanpa disedari semua orang, roh Asuka sememangnya berada di dalam bilik itu. Dia terkejut melihat Hikari. Dia kenal gadis itu kerana dia tahu yang gadis itu mencintainya dulu. Asuka sengaja berpura-pura tidak tahu perasaan gadis itu terhadapnya malah, dia telah mengelak sewaktu Hikari ingin meluahkan perasaan kepadanya pada hari convocation gadis itu. Asuka sememangnya telah mempunyai teman wanita ketika itu tapi dia memang tidak mahu menolak Hikari secara terus. Dia tahu Hikari akan terluka jika dia terang-terang menolak gadis itu.
Asuka keluar mengekori Hikari yang berlari ke arah pintu belakang. Hikari kelihatan terduduk di sudut dinding berdekatan dengan pintu kecemasan. Dia menekup wajahnya dengan tangan. Kali ini, Hikari benar-benar menangis.
"Kuroki, kenapa kau jadi macam ni?" Hikari bersuara seorang diri dengan sedu-sedan. "Kuroki.. kenapa aku masih cintakan kau?"
Asuka terkejut. Dia berjalan perlahan-lahan menghampiri Hikari. Asuka kemudian duduk mencangkung dihadapan gadis itu, namun Hikari pastilah tidak nampak kewujudannya.
"Jangan nangis lagi, Tenshikawa." Asuka mengeluh berat. Tangannya spontan diletakkan di atas kepala Hikari walaupun tidak dapat menyentuhnya. Asuka mengusap-ngusap angin.
Semenjak hari itu, Hikari semakin kerap berkunjung ke hospital. Malah, kedatangan Hikari adalah lebih kerap daripada teman wanita Asuka sendiri. Asuka perasan girlfriendnya semakin jarang mengunjunginya baru-baru ini. Apabila tiada orang mengunjungi Asuka, Hikari akan masuk ke bilik itu dan cuba berbual-bual dengannya. Hikari pernah terbaca yang cara yang paling berkesan untuk menyedarkan orang koma ialah melalui rangsangan minda. Sebab itulah dia akan selalu berbual-bual dan membacakan buku cerita kepada Asuka.
Tanpa disedari Hikari, roh Asuka selalu berada disisinya setiap kali Hikari melawat lelaki itu. Asuka hanya memandang wajah Hikari setiap kali gadis itu bercerita dan menjawab setiap patah soalan yang ditujukan oleh gadis itu kepada badannya yang sedang koma. Hati Asuka akan menendang-nendang gembira setiap kali Hikari datang ke hospital. Tanpa Asuka sedari, dia selalu menanti kedatangan gadis itu lebih daripada kedatangan girlfriend nya sendiri.
Namun hari itu, Hikari tidak jadi hendak masuk ke bilik Asuka. Kehadiran girlfriend lelaki itu membantutkan niatnya untuk menjenguk Asuka. Hikari hanya berdiri di luar bilik memandang Tatsuki Anna, girlfriend Asuka yang sedang duduk di kerusi di sebelah katil lelaki itu. Dalam hatinya terdetik secalit rasa cemburu.
"Aku minta maaf, Asuka. Kita dah tak boleh teruskan. Aku tak sanggup tunggu kau lagi." Kata-kata Tatsuki Anna itu membuatkan Hikari terperanjat besar. Hikari terus membuka pintu bilik itu. Kelihatan gadis itu meletakkan sebentuk cincin di atas meja pesakit di sebelah katil Asuka. Dia kelihatan terkejut melihat Hikari.
"Awak siapa?" Tatsuki Anna bertanya.
"Sampai hati awak buat dia macam ni. Awak tinggalkan dia di saat-saat dia perlukan sokongan awak untuk hidup. Bayangkanlah kalau dia bangun nanti dan awak dah tinggalkan dia." Hikari hampir menjerit. Dia kelihatan emosional membuatkan Asuka yang melihat perkara itu dari mulanya sedikit terkejut. Asuka tahu yang Hikari ialah seorang gadis pendiam, pasif dan pemalu.
Air mata Tatsuki Anna tumpah juga. Ternyata dia juga berat hati hendak meninggalkan Asuka. "Dia takkan bangun lagi, faham tak? Dah dekat lima bulan saya tunggu dia bangun, saya dah penat sekarang."
Asuka tersentak. Gadis yang pernah menjadi teman wanitanya sanggup berkata begitu membuatkan hatinya berasa pedih. Dia telah hilang harapan terhadap aku rupanya. Fikir Asuka.
"Dia pasti akan bangun nanti." Hikari bersuara tegas. "Saya yakin."
Tatsuki Anna akhirnya meninggalkan bilik itu. Asuka tahu yang dia tidak akan kembali lagi. Dia kemudian memandang wajah Hikari. Gadis itu memandang kearah badannya di atas katil dengan satu pandangan yang sayu. "Aku yang tunggu dia lebih lama ni, sepatutnya rasa lebih penat." Gadis itu berbisik sendiri, namun jelas kedengaran di telinga Asuka.
Asuka merenung Hikari lama-lama. Entah kenapa dia jadi takut. Dia benar-benar takut sekiranya Hikari benar-benar sudah penat menantinya dan akan meninggalkannya tidak lama lagi. Hasrat Asuka hendak sedar semakin kuat. Dia mahu bangun dan sedar dari koma. Dia ingin memberitahu perasaannya kepada gadis itu. Dia sedar sekarang yang dia sangat-sangat memerlukan Hikari.
Beberapa hari kemudian, Hikari datang lagi membuatkan Asuka mengeluh lega. Namun kali ini, Hikari tidak masuk ke bilik walaupun tiada siapa yang mengunjunginya. Gadis itu hanya menjenguknya di pintu.
"Cik." Ibu Asuka menegur gadis itu menyebabkan dia terlompat. "Maafkan makcik sebab buat kamu terkejut." Katanya tanpa memperkenalkan diri.
"Tak apa." Hikari tersenyum manis.
"Makcik perasan yang cik ni selalu datang jenguk pesakit ni. Err... apa hubungan cik dengan dia?"
Hikari memandang wajah Asuka di atas katil. Dia sendiri tidak pasti apakah yang ingin diberitahu kepada makcik yang menegurnya itu. Siapakah dia kepada Asuka dan siapakah Asuka dihatinya? Hikari mengeluh berat. Namun seketika kemudian dia memandang ibu Asuka semula lalu tersenyum.
"Dia ialah orang yang sangat saya cintai sejak dulu lagi. Tapi, perasaan saya tak sampai kepada dia." Jawab Hikari jujur sebelum meminta diri.
Malam itu, Asuka berdiri disebelah katilnya dalam kegelapan. Dia memandang mukanya sendiri yang sedang koma itu. Hatinya memberontak. Dia menjerit. "Kenapa kau taknak bangun lagi? Bangunlah." Asuka benar-benar kecewa. Dia benar-benar hendak kembali ke badannya. Rasa kecewanya dihamburkan dengan jeritan kuat yang tidak dapat didengari sesiapa.
Jeritan Asuka terhenti. Dia ternampak cahaya putih yang sangat terang sehingga menyilaukan mata. Asuka cemas. "Nanti. Aku belum bersedia nak tinggalkan dunia ni. Aku masih belum beritahu dia." Asuka menjerit lagi. Dia terasa seolah-olah masanya hampir tiba. Dia akan melangkah pergi dari dunia ini dengan penuh sesalan. Dalam alur cahaya itu, dia ternampak bayang seorang gadis sedang menghulurkan tangan kepadanya.
"Kau ni bidadari?" Dia menyoal lemah. Semakin lama wajah gadis itu semakin jelas di matanya.
"Hikari..."
"Asuka. Asuka sayang. Bangun nak." Kedengaran suara ibunya terngiang-ngiang di telinga Asuka seperti di dalam gua. Perlahan-lahan dia membuka mata. Kelihatan wajah ibunya dengan lenangan air mata. "Doktor, dia dah sedar."
"Ibu." Asuka bersuara perlahan. Dia berada di atas katil sambil dikerumuni oleh dua orang doktor dan beberapa orang jururawat. Badannya diperiksa secara menyeluruh oleh doktor. Namun hati Asuka tidak sabar. Dia ingin berjumpa Hikari segera. Walaupun selama ini dia memang selalu berjumpa gadis itu, namun Hikari langsung tidak menyedari kehadiran rohnya.
"Ibu, mana Hikari?" Asuka bertanya.
"Hikari?" Wajah ibunya berkerut.
"Tenshikawa Hikari. Perempuan yang selalu datang melawat saya waktu saya koma dulu." Asuka terlepas cakap. Kini ibunya memandang Asuka dengan rasa takjub.
"Kamu tahu tentang dia? Tapi macam mana?" Ibunya bertanya.
Asuka tidak dapat memberikan penjelasan yang lebih logik. Pengalaman rohnya yang keluar daripada badan itu lebih baik dirahsiakan. Dia tidak mahu ibunya semakin risau.
Namun, ibu Asuka hanya tersenyum. "Ibu faham. Jadi perasaannya sudah sampai kepada kamu, ya? Jangan risau. Ibu dah minta pihak hospital menghubungi dia sebab ibu selalu sangat nampak dia melawat kamu."
Petang itu, Hikari benar-benar datang ke hospital. Asuka pula yang teruja melihat gadis itu. Kalau hendak diikutkan hati, ingin saja dia memeluk gadis itu namun ditahannya. Asuka tersenyum. "Apa khabar, Tenshikawa?"
Hikari mengangguk. Dadanya berdetap kencang. Dia tahu yang dia akan dapat melihat senyuman lelaki itu semula. Hikari pula sedaya-upaya menahan air matanya dari menitis lagi. Kali ini, dia gembira kerana lelaki itu sedar semula. "Kau dah sedar. Baguslah."
Asuka tersenyum. "Kau tahu tak, waktu aku koma aku ada termimpi sesuatu."
"Mimpi apa?"
"Aku bermimpi tentang seorang bidadari yang diselubungi cahaya. Bidadari itulah yang membuatkan aku terjaga."
Hikari terangguk-angguk. Dia berjalan perlahan-lahan menghampiri katil Asuka dan duduk di kerusi di sebelahnya. Hikari tertunduk malu apabila Asuka begitu asyik merenung wajahnya.
"Bidadari tu tak habis-habis berborak dengan aku. Kadang-kadang dia akan bacakan buku cerita dekat aku. Yang kelakarnya, aku langsung tak faham apa yang dia ceritakan sebab semuanya buku novel pasal undang-undang. Aku ni pun bukannya pandai sangat." Asuka sempat ketawa.
Wajah Hikari merona merah. "Apa yang kau cakapkan ni?"
"Akhirnya baru aku dapat tahu, bidadari tu sebenarnya ialah orang yang aku kenal dan seseorang yang dah lama cintakan aku. Nama dia ialah Tenshikawa Hikari."
Kali ini Hikari tidak dapat membendung air matanya lagi. Asuka sudah tahu.
Asuka tersenyum lalu menarik kepala Hikari rapat ke mukanya. Wajah gadis itu merah padam dengan dahinya yang bersentuhan dengan dahi Asuka. Kedudukan paling rapat di antara mereka.
"Aku cintakan kau, Hikari." Kali ini Azusa terlebih dahulu meluahkan perasaannya. "Dan terima kasih untuk segala-galanya." Azusa tersenyum apabila Hikari mula memeluknya.
"Tapi, kenapa kau kata aku ni bidadari cahaya?" Soal gadis itu.
"Memanglah. Nama kau kan Tenshikawa Hikari. 'Tenshi' yang bermaksud bidadari dan 'Hikari' yang bermaksud cahaya." Asuka membalas sambil ketawa.
-end-
P/S : copy n paste jer niyh
kt http://keretatua.blogspot.com/











